Salam,
Rasanya kita dah masuk ke 10 malam terakhir Ramadhan, begitu cepat bulan mulia ini hendak meninggalkan kita. Umum mengetahui tentang keajaiban 10 malam terakhir yang ingin direbut oleh para muslimin yang ingin mendapat keberkatan malam seribu bulan iaitu "Lailatul Qadr".
Di sini ada satu kisah yang menarik tentang Lailatul Qadr.
Hakikatnya, Allah S.W.T telah memberitahu Rasulullah S.A.W tentang waktunya berlaku Lailatul Qadr ini, tetapi ketika Rasulullah S.A.W hendak keluar untuk menyampaikan kepada umum, baginda melihat dua orang sahabatnya sedang bergaduh menyebabkan Allah S.W.T menarik balik ingatan Rasulullah S.A.W tentang malam tersebut. Tetapi Rasulullah S.A.W memberitahu sedikit bayangan bahawa ia berlaku pada 10 malam terakhir ramadhan.
Kenapa la sahabat Rasulullah S.A.W bergaduh ketika itu?
Itulah namanya Qadr, ketentuan. Mungkin Allah hendak hambanya berusaha mencari Lailatul Qadr. Jika Rasulullah S.A.W sempat memberitahu, pastinya umat Islam kini akan menumpukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan melupakan malam dan hari-hari yang lain.
Malam Lailatul Qadr ini dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W ketika baginda sedang bersedih memikirkan umatnya yang pendek umur, umat-umat terdahulu dapat hidup sehingga 900-1000 tahun. Bukan Rasulullah membangkitkan ketidakadilan Allah S.W.T, tetapi baginda sedih jika membandingkan ibadat dan amal yang dapat dilakukan oleh umatnya yang dapat hidup sekitar 60-70 tahun (anggaran) sahaja.
Dek kerana kesedihan itu, Allah S.W.T menghadiahkan malam Lailatul Qadr kepada Rasulullah S.A.W yang mana jika kita beribadat pada malam itu, pahalanya sama seperti kita beribadat selama 1000 bulan.
1000 bulan = 83 tahun 3 bulan. Bayangkan jika kita berjumpa dengan malam Lailatul Qadr sebanyak 10 kali? 83 x 10 = 830 tahun!
Rasulullah S.A.W turut berpesan, bangunlah pada 1/3 (4-6 pagi) malam yang akhir pada malam Lailatul Qadr dan berdoalah kepada Allah, insyaAllah doa kita dimakbulkan kerana 1/3 malam yang akhir adalah waktu mustajab berdoa.
Berikut adalah sedikit panduan tentang mencari malam Lailatul Qadr dari Rasulullah S.A.W dan ilmuan Islam yang lain.
"Carilah malam Lailatul Qadr pada 10 malam terakhir Ramadhan"
"lailatul qadar mempunyai 9 huruf, lam, ya, la, ta, alif, lam, qaf, dal, ro, darabkan sahaja dengan berapa kali ia (perkataan lailatul qadar) disebut dalam surah al-Qadr, insyaAllah, itulah malamnya" 9 x 3 = 27 ~hasil pengiraan para ulama'
"aku pernah bertemu malam lailatul qadar sebanyak dua kali dalam hidupku, kedua-duanya berlaku pada malam ke-27 ramadhan" ~ahli sufi
"malam lailatul qadar jatuh pada hari yang sama kita bermula puasa, namun, jika kita berpuasa pada hari sabtu, ia jatuh pada malam ke-23 ramadhan" ~imam al-ghazali
Yang di atas hanyalah sebagai panduan, Allah S.W.T lebih mengetahui.
Akhir kalam,
"Carilah harta seolah-olah kamu hidup selama 1000 tahun lagi, tetapi beramalah seolah-olah kamu akan mati keesokkan harinya..."-Rasulullah S.A.W
0 ulasan:
Catat Ulasan